Friday, September 2, 2011

Politik Kita Hanya Emosi

Beberapa hari lepas politik negara kita telah digegarkan dengan kenyataan daripada Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mendakwa Mat Indera, pemimpin kepada sekumpulan komunis yang mencipta tragedi Bukit Kepong wajar diangkat sebagai seorang tokoh pejuang ke,erdekaan negara ini. Hal ini menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap beliau selain cemuhan yang banyak melalui media akhbar, televisyen, radio serta blog. 

Sebelum bergerak lebih dalam, perlu diketahui oleh semua terdapat beberapa laporan yang cuba memutar belitkan kenyataan dari Mat Sabu. Beliau hanya mahu Mat Indera diangkat sebagai seorang tokoh pejuang bukannya menyokong perjuangan komunis. Di mana logiknya Mat Indera diangkat sebagai tokoh pejuang? Pertama, tragedi Bukit Kepong berlaku sebelum kemerdekaan. Maknanya mana-mana tindakan yang memerangi Inggeris sewaktu itu adalah demi pembebasan tanah air dari cengkaman penjajah. Sepertimana yang dilakukan oleh ramai lagi pejuang tanah air pada waktu itu seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lel dan Mat Kilau. Namun mengapa kita boleh menganggap mereka semua ini tokoh pejuang tapi bukan Mat Indera? Mungkin caranya berbeza iaitu komunis namun matlamatnya masih sama iaitu membebaskan tanah air darpada cengkaman British.

Kedua, penentangan oleh Mat Indera ini bukan terhadap kerajaan yang dipimpin dan dibentuk oleh orang Melayu sendiri. Andai kata penentangan Mat Indera ini dilakukan selepas kemerdekaan, barulah penilaian Mat Sabu terhadap belaiu boleh disangkal sama sekali. Contohnya jika peristiwa Bukit Kepong berlaku selepas kemerdekaan, baru kita boleh menganggap Mat Indera sebagai pengkhianat negara dan bangsa. Kita menganggap Mat Indera sebagai tali barut komunis kerana beliau bekerjasama dengan komunis. Bagaimana pula dengan tindakan orang Melayu pada waktu itu yang bekerjasama dengan British? Atau kerana pada waktu itu British yang menjadi pemerintah negara ini maka British bukan lagi penjajah? Jikalau begitu semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu hampir kesemua daripada kita adalah pengkhianat negara dan hanya segelintir sahaja orang yang cinta akan negara kerana mereka bekerjasama dengan kerajaan pada waktu itu iaitu Jepun. Atau kerana yang baik sedikit seperti British kita boleh bertoleransi berbanding yang lebih jahat seperti Jepun? Namun apa sekalipun penjajah tetap penjajah!


Sebenarnya politik kita terlalu dikuasai emosi sehingga menghalang logik akal untuk berfikir. Dendam yang terlalu tebal menghalang kewarasan serta rasional akal. Terdapat terlalu banyak bukti. Pengunguman oleh Mufti Pulau Pinang supaya bacaan Al-Quran seelok-eloknya tidak dialunkan melalui pembesar suara membangkitkan sentimen keagamaan terutamanya terhadap orang Melayu yang majoritinya Islam. Apa jika bacaan Al-Quran tidak dialunkan melalui pembesar suara agama Islam akan terhakis? Tergugat?Umat Islam di negara ini akan melupakan ajaran agama Islam? Semua umat Islam tidak akan bersolat lagi? Tidak! Ia tidak akan berlaku. Dalam Islam kita diajar untuk bertoleransi. Orang yang memberi kemaafan lebih baik dari yang meminta maaf. Orang yang bersedekah lebih baik daripada yang menerima sedekah. kita juga diharamkan berperang kecuali jika ada pihak tertentu yang cuba mengancam keselamatan negara serta agama Islam. Pengunguman supaya bacaan Al-Quran tidak dibuat melalui pembesar suara tidak pernah mengancam agama Islam.


Peristiwa 13 Mei 1969. Kemenangan besar yang memihak kepada Parti Gerakan pada waktu itu telah membawa kepada peristiwa rusuhan kaum berdarah dan yang paling teruk pernah berlaku dalam negara kita. Ia bermula apabila kemenangan Parti Gerakan telah disambut oleh perarakan dan yang menyertainya membawa penyapu. Akhirnya tindakan membawa penyapu ini didakwa oleh segolongan pihak tindakan yang cuba "menyapu" bangsa Melayu dari negara ini. Maka berlakulah perbalahan antara orang Melayu dan Cina pada waktu itu. Sedangkan penyapu itu membawa maksud yang jauh berbeza. Menyapu korupsi dalam kerajaan yang memerintah pada waktu itu. Memang benar orang Melayu yang menjadi pemerintah pada waktu itu namun adakah disebabkan Melayu kita menghalalkan korupsi? Adakah kerana Melayu kita menghalalkan penindasan terhadap rakyat? Kita mempunyai ramai pemimpin Melayu yang mampu mentadbir dengan lebih baik, jika kita ingin bercakap mengenai kepimpinan Melayu.

Jika ada yang menyentuh hal kaum kita mula melatah. Jika ada yang menentuh hal agama kita mula melatah. Sehingga kita hilang waras akal. Sehingga kita lupa duduk sebentar dan berfikir. Sehingga kita lupa memeriksa kebenaran sesuatu pernyataan yang kita dengar. Jangan kita ulang kesilapan yang lampau. Setiap tindakan perlu didahului dengan berfikir dahulu. Jika dalam solat niat itu wajib maka dalam setiap tindakan berfikir itu juga wajib.














0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Bird Gadget