Sunday, June 26, 2011

Bersih: Kerajaan Perlu Dibasuh


Mungkin entri ini sedikit lewat berbanding dengan isu yang semakin garau berbunyi di dalam media tempatan dan antarabangsa. Bagaimana perhimpunan Bersih ini mendapat banyak kecaman serta ugutan daripada media pro kerajaan, NGO (kata NGO tapi kroni kerajaan), polis serta ahli politik sendiri. Bagi yang tidak mengenali apa itu Bersih, ini beberapa maklumat yang boleh saya kongsikan sedikit.

BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 NGO yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. Pada asalnya, keahlian gabungan BERSIH yang menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007 terdiri daripada pihak-pihak NGO dan parti-parti politik. Namun kini, BERSIH 2.0 yang dilancarkan pada 10 November 2010 hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani. BERSIH 2.0 merupakan satu gerakan rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada 14 individu yang mewakili pelbagai badan NGO di Malaysia.

Pada November 2007, negara kita telah dikejutkan oleh satu perhimpunan rakyat besar-besaran yang telah didokongi oleh Bersih bagi menuntut satu pilihanraya yang adil di Malaysia. Dan sekali lagi satu perhimpunan rakyat yang juga didokongi oleh Bersih akan diadakan sekali lagi pada 9 Julai 2011. Selain menuntut pilihanraya yang lebih bersih dan adil, beberapa tuntutan lain turut dipinta. 8 tuntutan tersebut adalah:

1. Bersihkan senarai pengundi
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Minimum kempen pilihanraya 21 hari
5. Akses media yang adil
6. Pengukuhan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Melihatkan tuntutan ini mana salahnya? Andai benar semua perkara ini telah pun dipenuhi oleh kerajaan mengapa boleh hal ini diungkit-ungkit rakyat? Disebabkan suara rakyat ini tidak didengari ini lah yang mencetuskan satu perhimpunan besar-besaran oleh rakyat diadakan sekali lagi demi sebuah niat yang murni dan hanya mahu kerajaan bersikap lebih terbuka dalam menerima pandangan serta rintihan rakyat.
Tindakan kerajaan memfitnah bahawa perhimpunan ini boleh menggugat kelancaran ekonomi dan mendatangkan kerugian terhadap peniaga dan usahawan selain menakut-nakutkan pelaburan asing adalah tidak adil sama sekali. Perhimpunan ini bukan suatu tunjuk perasaan yang akhirnya boleh menimbulkan kekecohan. Namun sekadar perhimpunan aman, perhimpunan sejumlah besar rakyat bagi menggambarkan sokongan mereka terhadap gerakan yang menuntut kebersihan dalam institusi demokrasi negara kita.


Jika dilihat perhimpunan Bersih pada 2007, menjadi huru-hara akibat campur tangan daripada pihak polis dan FRU. Mereka membedil rakyat yang sedang berhimpun secara aman dengan gas pemedih mata, disembur dengan pancutan air deras, dipukul oleh cota-cota boneka kerajaan malah ada ditangkap dan ditendang ke dalam lokap atau ditahan dibawah ISA. Dipukul dan dibelasah sekali lagi semasa dalam tahanan. Sebenarnya kekecohan ini datangnya daripada kerajaan sendiri.

Pertikaian mengenai perhimpunan ini tidak mendapat permit. Satu perhimpunan haram yang perlu dibanteras. Cuba fikirkan. Mana mungkin kerajaan yang korup seperti Malaysia membenarkan tindakan-tindakan yang boleh mengancam kekuasaan mereka sekalipun tindakan itu bersifat aman seperti perhimpunan Bersih. Jadi, disebabkan suara rakyat tidak didengari sekalipun disalurkan melalui medium yang betul mereka terpaksa menganjurkan perhimpunan besar-besaran agar kerajaan dapat lihat sendiri betapa rakyat kita bersungguh-sungguh dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah tempat yang baik untuk didiami dan nilai demokrasi itu dijulang. Keadilaan untuk semua.


Jadi kepada rakyat yang terpengaruh dengan propaganda dari kerajaan yang disebarkan melalui media-media mereka, kroni-kroni mereka, saya harapkan sedar dari lamunan. Sedar dari bayangan dan ilusi yang dibuat-buat kerajaan. Kita perlu Bersih kan kerajaan kita!


 

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Bird Gadget