PM cadang 'Ujian 1Malaysia'
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan setiap individu, kumpulan dan institusi berpengaruh dalam masyarakat menjalani 'Ujian 1Malaysia' bagi memastikan masing-masing bebas daripada bersikap perkauman.
Perdana Menteri berkata, ujian itu memerlukan mereka bertanya diri sendiri bagaimana pendirian masing-masing dalam isu etnik tertentu yang memberi impak kepada kaum atau agama lain.
''Antara soalan ini menyentuh mengenai apakah pendirian saya ini dapat meningkatkan keharmonian atau mengakibatkan kebencian terhadap kaum saya sendiri di kalangan kaum- kaum yang lain?
''Ia juga melibatkan soalan adakah pendirian ini boleh membawa kepada persefahaman yang lebih baik di antara kaum dan meningkatkan perpaduan nasional yang lebih mantap atau sebaliknya?'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Hidup Bersama Dalam Masyarakat Berbilang Kaum anjuran Yayasan 1Malaysia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.utusan
0 comments:
Post a Comment