Thursday, November 24, 2011
Jabatan Agama Islam Punca Kekeliruan Ummah
Isu agama adalah isu yang paling sensitif di dunia. Lebih sensitif daripada isu kebuluran mahupun peperangan. Melalui penilaian ini kita boleh lihat bagaimana manipulasi agama dalam senario politik Malaysia. Dan tahun ini kita dikejutkan dengan pelbagai masalah membabitkan isu-isu keagamaan. Dari isu pembakaran gereja sehinggalah isu jabatan agama yang mana punya penyokong dan punya pengecamnya.
Antara isu yang hangat ialah isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) terhadap sebuah gereja, Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Selain itu yang terbaru di mana peserta pertandingan ratu cantik Borneo diarah hadir ke pejabat untuk sesi kaunseling agama.
Yang menjadi persoalan saya ialah, mengapa jabatan agama hanya bertindak terhadap isu yang besar sahaja? Itu dari pemerhatian dan pengetahuan saya. Definisi isu besar bagi jabatan agama juga begitu pelik sekali, iaitu isu yang di POLITIKKAN dan isu yang menjadi FOKUS MEDIA sahaja. Sedangkan sebagai sebuah institusi keagamaan, yang menguatkuasakan undang-undang Islam (maaf jika penggunaan istilah tidak tepat dengan istilah undang-undang), yang menjadi badan dakwah ini skop mereka lebih luas lagi.
Jika peserta Miss Borneo dipanggil menghadiri sesi kaunseling agama, saya kira wajar juga artis kita sekalian dipanggil menghadap kaunselor di jabatan agama tersebut. Jika alasan peserta Miss Borneo berpakaian mendedahkan aurat, menjolok mata, melanggar hukum-hakam Islam, artis kita apatah lagi. Dalam filem dan drama, pasti ada adegan berpelukan lelaki dan wanita bukan muhrim. Dalam setiap filem dan drama pasti ada artis wanita yang berpakaian menjolok mata. Sekalipun filem atau drama itu bermotifkan Islamik tetap ada perkara tersebut. Bukti? Tengok sahaja Nur Kasih, Muallaf pasti anda mengerti maksud saya.
Keadilan antara perkara yang ditekankan dalam Islam. Jika jabatan agama bertindak sebegitu terhadap peserta pertandingan ratu cantik ini, mereka perlu juga bertindak begitu terhadap umat Islam yang lainnya. Memang saya tidak menuntut kesempurnaan dalam pelaksanaan tanggungjawab mereka, namun memang tidak ada langsung tindakan mereka terhadap orang lain, terutamanya golongan artis yang terang-terangan berpelukan, bergaul lelaki wanita tanpa batas di khalayak RAMAI! Ini mereka tak nampak kah? Oh. Mungkin kerana isu ini tidak dipolitikkan.
Selaku sebuah badan yang menerajui masalah-masalah membabitkan agama, mereka perlu tegas! Tidak selektif terhadap mana-mana golongan, rakyat biasa, artis mahupun ahli politik sendiri! Dengan itu baru hormat umat Islam terhadap jabatan agama di Malaysia ini bangkit kembali. Jika kita lihat, ramai juga umat Islam memandang rendah dan serong terhadap jabatan agama Islam ini. Makan rasuah, kaki bodek ahli politik, bacul dan pelbagai lagi tohmahan dilemparkan kepada jabatan agama Islam ini oleh umat Islam sendiri. Dan saya cukup pasti cemuhan ini datang dari kesilapan oleh jabatan agama Islam itu sendiri.
Selain itu saya juga mahu menyentuh sedikit mengenai isu Permit atau tauliah dalam memberikan ceramah. Yang menjadi masalah ialah perlu mendapat kelulusan daripada jabatan agama. Sedangkan kita tahu, tidak boleh dinafikan lagi jabatan agama ialah badan kerajaan dan dikawal oleh kerajaan. Maknanya sekiranya ada golongan Ilmuan Islam, ulamak yang datang dari latar belakang pembangkang kepada kerajaan semasa, pasti terlalu sukar atau hampir mustahil untuk mereka mendapatkan permit atau tauliah tersebut.
Saya tahu dan faham permit ini adalah antara cara jabatan agama mencegah penyebaran ajaran sesat namun bagaimana pula bagi orang yang menyampaikan ajaran Islam yang sebenar? Apabila memberikan ceramah mereka dikenakan tindakan sekalipun jelas bukan ajaran sesat? Jika ulamak dahulu masih ada pasti mereka sengsara. Pasti Tok Kenali muka paling popular. Tidak ada permit tetapi tetap memberikan ceramah dan ajaran Islam kepada rakyat. Pasti Al-Fatani ditangkap dan dipenjarakan kerana beliau turut menerbitkan buku-buku dan makalah-makalah cara ibadat dalam Islam, ilmu Tasawwuf dan sebagainya tetapi juga tidak punya permit. Kalau Hamka rakyat Malaysia lagi lah teruk hukuman kepada beliau kerana terkenal sebagai individu yang lantang bersuara menegur pemimpin. Permit bagi saya sangat tidak relevan. Ia menghalang usaha-usaha dakwah oleh sebilangan besar ulamak di Malaysia.
Disebabkan tindakan sebegini timbul kekeliruan di kalangan ummah. Tidak mengapa tayang sana tayang sini asalkan tidak masuk pertandingan ratu cantik. Tidak mengapa peluk sana, peluk sini asalkan untuk filem yang kononnya memberi pengajaran kepada masyarakat. Tidak mengapa sebab hanya menurut kata pengarah filem. Tidak mengapa melanggar hukum hakam agama selagi tidak menyentuh hal parti dan kerajaan.
Liberalisasi Islam tidak bermaksud tindakan yang melampaui agama tetapi bermaksud peningkatan dan mengoptimumkan kaedah dan cara pelaksanaan agama dalam kehidupan harian dah keboleh adaptasian terhadap situasi semasa namun masih mematuhi syariat dan hukum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment