Friday, July 22, 2011

Sosialis dan Nasionalis: Satu Haluan Dua Jalan


Itu lah yang berlaku di negara kita sekarang. Sekalipun masih belum wujud sistem 2 parti seperti mana yang diamalkan di Amerika Syarikat, namun dalam samar-samar itu kita dapat lihat dua pendekatan politik yang berbeza, iaitu sosialisme dan nasionalisme. Dan mungkin satu hari nanti kita akan melihat penyatuan parti-parti Malaysia di bawah payung Parti Sosialis dan Parti Nasionalis.

Apa itu sosialisme? Menurut Friedrich Engles dalam bukunya yang bertajuk Socialism: Utopian and Scientific, Sosialisme merupakan teori atau organisasi ekonomi dan sosial yang mengetengahkan nilai kesamarataan setiap individu sama ada dalam pengagihan harta kekayaan sesebuah negara atau perlindungan keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Secara mudahnya tidak wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana individu dalam apa-apa perkara sekalipun. Setiap orang mempunyai hak yang sama rata.

Nasionalisme pula adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia. Secara mudahnya bila disebut perkataan nasionalisme anda tahu ia berkaitan keamanan dan keselamatan negara. Keamanan dan keselamatan negara yang akan hadir dalu berbanding perkara-perkara yang lain dalam ideologi nasionalisme.

Dua perbezaan yang jelas antara dua ideologi ini. Sosialisme tentang hak sama rata; Nasionalisme tentang keamanan dan keselamatan negara. Di Malaysia kerajaan BN yang mendokong fahaman nasionalisme ini manakala yang memegang prinsip sosialisme pula adalah pembangkang, PR.

Sekalipun berbeza ideologi, jika diperhatikan dalam konteks perjuangan dan matlamat mereka, ia tetap sama. Menjadikan Malaysia sebuah negara maju, negara bangsa, rakyat yang bersatu padu dan negara yang aman. Dalam konteks perjuangan BN, keamanan negara lebih penting. Untuk mewujudkan konsep negara maju yang berteraskan identiti negara bangsa, mereka cuba menanamkan nilai penerimaan dalam diri setiap rakyat Malaysia. Penerimaan; salah satu teras dalam gagasan 1 Malaysia. Setiap rakyat seolah-olah dipaksa untuk redha dengan apa yang mereka dapat selama ini sekalipun mereka menentang keras selama ini.

Berbeza dengan pihak pembangkang. Untuk mencapai pembentukan negara maju dan negara bangsa mereka memperjuangkan hak setiap individu untuk mendapatkan hak yang sama rata sekalipun berbeza kaum, agama, bahasa, adat dan budaya mereka. Hal ini diketengahkan melalui konsep Malaysian Malaysia mereka. Namun disebabkan perjuangan yang sama rata di Malaysia adalah satu isu yang sensitif mereka menjadi mangsa. Mereka dikecam habis-habisan dalam media yang dikawal kerajaan. Tindakan mereka banyak disekat. Isu-isu perkauman dimainkan untuk menjatuhkan mereka.

Sekalipun Bersih baru-baru ini dicemari dengan pelbagai insiden, pihak sosialis berjaya membuktikan sesuatu. Mereka boleh membawa semua kaum untuk duduk, berjalan, berlari dan berjuang bersama-sama. Sekalipun rakyat yang berhimpun baru-baru ini dikhabarkan diberi upah, dibayar oleh golongan tertentu, namun ia tetap membuktikan kemampuan pihak sosialis ini dalam menyatukan rakyat Malaysia. Jika kita lihat pihak Patriot pula, yang berhimpun dikalangan mereka hanya Melayu. Mereka terlalu taksub dengan identiti Melayu. Mereka terlalu obses dengan idea sekiranya semua orang mendapat hak yang sama mereka akan ditindas. Sekiranya hak istimewa mereka dihapuskan mereka akan mati.

Ini lah sentimen yang diterapkan oleh kerajaan ke dalam minda kita semua. Dari awal kita semua lahir sehingga menjelang usia tua. Saban hari saban waktu secara subversif minda kita diajar untuk yakin hal ini benar dan demi survival kita, orang Melayu perlu pertahankan hak istimewa ini. Sekalipun ia tidak adil untuk kaum lain tidak mengapa asalkan kita boleh hidup dengan selesa. Sekalipun rakan senegara kita Cina dan India hidup melarat tidak mengapa asalkan hidup kita tidak sengsara.

Memang benar Cina telah pun menguasai ekonomi negara kita. Memang benar lebih ramai orang kaya Cina dari orang kaya Melayu. Tapi itu tidak menafikan hak mereka. Kita sama-sama membangunkan negara ini jadi tidak salah untuk kita semua mendapat hak yang sama rata. Untuk peluang dan ruang bukankan persaingan akan menjadikan negara ini lebih kompetetif? Bukankah tujuan kita adalah negara maju dan negara bangsa berdasarkan satu identiti?

Aku bukanlah orang yang mendokong mana-mana fahaman namun ini yang aku dapat lihat apa yang berlaku di negara kita. Sekadar pandangan yang mahu dikongsi. Seperti orang lain juga, mahu untuk politik negara berubah. Sampai bila kita harus begini. Memang umur negara kita masih mentah tetapi jika langkah awal tidak diambil selamanya kita akan berada di takuk yang lama. Akan sentiasa berbalah akan isu hak, kaum dan agama. Jika benar kita perlu berjuang demi kaum sendiri, apa benar pemimpin yang kita undi, dari kaum kita sendiri, benar-benar ikhlas menolong kita? Memajukan kaum kita? Atau hanya memberatkan poket mereka dan kaum keluarga mereka sahaja? Sama-sama kita fikir, kita nilai. Sekian.

1 comments:

Rem said...

Saya suka golongan muda yang berani meletakkan sikap. Sebab itu tanda bahawa mereka peduli pada negara. Tahniah!

Saya setuju dengan argumen konsep 'sosialisme' dan 'nasionalisme', dan bagaimana ia dikaitkan dengan gagasan politik Malaysia. Dari segi segregasi parti pembangkang (PR) dan kerajaan (BN).

Tapi saya fikir pembuktian kes kurang tepat. Membuat asosiasi simplistik antara BERSIH-PR dan PATRIOT-BN, saya fikir tidak dapat membuktikan argumen dalam premis asas entri ini.

Pertama, BERSIH adalah gerakan NGO. Dari awal sampai akhir, ia dipertahankan sebagai tuntutan rakyat non-partisan. Ini ditegaskan berkali-kali oleh tunggak aktivis BERSIH. Perbuatan PR menempelkan idealoginya dalam gerakan BERSIH - telah dikritik hebat oleh kumpulan yang dikenali sebagai "purist". Bahkan, ramai kumpulan purist ini terang-terang menyatakan bahawa sokongan mereka terhadap BERSIH tidak berkaitan langsung dengan fahaman politik.

Tidak kira apa yang terjadi atau bagaimana ia terjadi, semangat non-partisan BERSIH adalah jelas dan nyata. So asosiasi dengan PR adalah tidak valid.

Kedua, PATRIOT bukan gerakan ciptaan kerajaan. Bahkan, dalam kerajaan BN sendiri terdapat dispute yang kronik mengenai konsep pewujudan PATRIOT. Akhirnya... ia juga menjadi satu gerakan neutral yang hanya mewakili semangat 'nasionalisme' (tetapi bukan semestinya semangat yang sealiran dengan apa yang dipegang oleh kerajaan).

Jelasnya, isu kepartian nasional tidak boleh dihujahkan dari segi darjah idealisme-nya (bersabit Nasionalisme vs Sosialisme) dengan menggunakan fakta kes BERSIH dan PATRIOT. Yes, we can argue - but we saw the symptoms on the ground! Yes, the symptoms were there. But they are not representative! Because the "real internal built" of those entities are not formed using the 'actual idealisms' from either of the political divide.

Salam. :-)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Bird Gadget